Minute Ticker :

Tindakan lambat, tidak cekap, lemah lembut kerajaan dipersoal

Wednesday 6 March 2013

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mempersoalkan tindakan kerajaan yang lambat, tidak cekap dan bersikap lemah lembut dalam menangani krisis pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini.


Pengerusinya Baru Bian berkata kerajaan telah gagal menyekat kemaraan awal pihak penceroboh yang bersenjata sehingga menyebabkan kematian lapan anggota keselamatan negara.


“Sebagai jiran terdekat, sudah tentu kita (Sarawak) mengambil berat terhadap insiden yang berlaku di Sabah sekarang,” kata Baru pada sidang media di pejabat parti tersebut semalam.


Baru turut mempersoalkan Menteri Dalam Negeri kerana gagal melabelkan para anggota penceroboh yang mengaku sebagai tentera Kesultanan Sulu sebagai militan atau pengganas padahal mereka dengan jelas bersenjata dan menjalankan kegiatannya secara teratur tanpa diketahui oleh pihak berkuasa.


“Pihak kerajaan hanya sedar mengenai kesungguhan pihak penceroboh setelah lapan anggota polis terkorban dan ini tidak sepatutnya belaku,” ujarnya yang turut mempersoalkan keputusan kerajaan menghantar pasukan polis dan bukannya anggota tentera bagi menangani isu tersebut pada mulanya.


Di samping itu Baru turut mengucapkan takziah kepada ahli-ahli keluarga anggota polis yang terkorban di Lahad Datu serta berasa rendah diri terhadap pengorbanan mereka.


Beliau turut memohon agar kerajaan memberitahu keadaan sebenar yang berlaku di situ setelah operasi penggempuran dilakukan oleh pihak tentera dua hari lepas terutama mengenai nasib 234 orang penceroboh sama ada telah terbunuh atau ditangkap.


Sementara itu Naib Ketua Wanita PKR Voon Shiak Ni mengumumkan pengedaran risalah mengenai Pusat Krisis Sehenti (OSCC) serta reben ungu akan diadakan di beberapa pasar raya pada 9 Mac ini sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.


Menurut Voon reben berwarna ungu melambangkan keberanian bagi wanita mengharungi dugaan di samping menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya menghentikan keganasan rumah tangga terutama terhadap kaum wanita di negara ini.


“Wanita PKR akan mengedarkan risalah serta membantu menyebarkan maklumat mengenai OSCC di Kuching bagi membantu kaum wanita yang teraniaya di samping me-ningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keganasan rumah tangga,” jelas Voon.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.