Minute Ticker :

500 anggota, pegawai PGA Sarawak dihantar ke Sabah

Tuesday 5 March 2013

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak menghantar seramai 500 anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Sabah bagi membantu menangani insiden pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu.


Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, satu batalion PGA yang merupakan pasukan tambahan itu terdiri daripada pegawai dan anggota daripada Batalion Ke-11 yang berpangkalan di Kuching, Batalion Ke-10 dan Batalion Ke-12 di Miri.


“Kami telah mengumpulkan anggota dan pegawai untuk membentuk kekuatan satu batalion PGA yang ditugaskan di Lahad Datu bermula hari ini dan tidak tahu berapa lama tempoh tersebut.


“Namun kita percaya dan yakin insiden ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan adanya pendekatan-pendekatan yang telah diambil pucuk pimpinan bagi menangani peristiwa yang berlaku ini,” katanya pada sidang media sebelum penghantaran pasukan PGA Batalion Ke-11 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.


Acryl berkata, selain pasukan PGA, sebelum ini Sarawak telah menghantar anggota terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seramai 20 orang anggota dan pegawai serta seramai 40 anggota Pasukan Polis Marin ke Sabah untuk tujuan yang sama.


“Mudah-mudahan kesemua pegawai dan anggota yang dihantar bertugas ke Sabah dalam menangani insiden akan bertugas engan penuh cekal, semangat jitu serta tegas dalam memelihara maruah kita sebagai sebuah negara berdaulat dan kesemua kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.


Terdahulu dalam ucapannya Acryl mengingatkan anggota dan pegawai yang bertugas itu sentiasa menitikberatkan setiap pergerakan dan langkah mereka dengan bijaksana sepanjang berada di sana.


Beliau meminta mereka menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah mereka perolehi selama ini dan yakin pasukan keselamatan itu akan terus bersemangat dan tidak akan mudah berundur.


“Meskipun kita telah melancarkan operasi ke atas kedudukan musuh pagi tadi (semalam), namun jangan anggap insiden ini telah selesai.


“Sehubungan itu saya mahu pasukan saya tidak leka dan jangan ambil mudah pergerakan anda sepanjang berada di sana nanti,” ujarnya.


Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon dan Komander PGA Briged Sarawak Datuk Wan Abdullah Tuanku Said.


Sementara itu di Miri, pasukan berkenaan diterbangkan ke Kota Kinabalu menggunakan pesawat komersial yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri di sini, jam 6.30 petang semalam.


Menurut jurucakapnya, dari Kota Kinabalu pasukan tersebut akan terus berlepas ke Lahad Datu, juga menggunakan jalan udara.


Kumpulan ini merupakan sebahagian daripada anggota PGA dari Sarawak yang dihantar secara besar-besaran ke Lahad Datu bagi membantu dalam krisis pencerobohan pengganas Sulu di sana.


Mereka akan berada di Lahad Datu sekurang-kurangnya sebulan atau bergantung kepada situasi di sana.


Lapangan Terbang Miri petang semalam, turut dibanjiri ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan para anggota PGA yang tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka.


Selain memberikan kata-kata semangat ‘selamat berjuang’ dan mendoakan kejayaan kepada anggota yang berlepas ke sana, tidak kurang juga isteri-isteri yang terpaksa mengalirkan air mata kerana sebak untuk melepaskan suami tersayang untuk menjalankan tugas demi negara.


Namun kehadiran anak-anak umpama pembakar semangat kepada mereka untuk pergi berjuang.


Bagi Mohd Fuad yang berasal dari Kota Samarahan, beliau terpaksa meninggalkan isterinya, Nur Aini yang sedang sarat mengandung anak sulung mereka iaitu anak lelaki.


Namun demi tugas terhadap negara, anggota yang telah berkhidmat 15 tahun dengan PGA ini memberitahu bahawa beliau dan isteri terpaksa cekalkan hati demi tugasnya untuk memastikan keamanan negara.


“Pada awalnya saya sebak dan bimbang apabila diberitahu bahawa suami saya turut bertugas ke Sabah, namun saya faham tugasnya dan berpesan agar dia menjaga diri dengan baik dan pulang dengan selamat,” kata Nur Aini mengandung tujuh bulan.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.