Minute Ticker :

Pencapaian M’sia terjejas ditadbir pembangkang

Sunday 24 March 2013

Kerajaan sekarang mempunyai pengalaman menguruskan ekonomi, pentadbiran, kata Chin


MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin mengingatkan rakyat bahawa pencapaian cemerlang yang sekian lama dikecapi Malaysia boleh terjejas jika pentadbirannya diserahkan kepada pakatan pembangkang.


Beliau berkata kerajaan yang ada sekarang mempunyai pengalaman dalam menguruskan ekonomi dan pentadbiran sehingga negara ini mampu mencapai pembangunan yang begitu ketara.


“Sedangkan pakatan pembangkang masih berbalah sesama sendiri mengenai sistem pentadbiran negara yang dimahukan dan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.


“Pakatan pembangkang tidak mempunyai pengalaman menguruskan ekonomi dan jika mereka mengambil alih pentadbiran sudah pasti ekonomi negara terjejas teruk dan ini akan membebankan rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Utama dan Bilik Kelas Baharu Tadika Hikmah Miri semalam.


Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, sehubungan itu rakyat harus terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dengan mengundi BN bermakna mereka mengundi untuk masa depan yang cerah, pembangunan, kestabilan dan keamanan.


Beliau berkata, Najib memerlukan mandat besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini bagi memastikan beliau terus dapat melaksanakan pembangunan yang sudah dirancang dan sedang dilaksanakan.


Mengenai majlis itu, Chin berkata pemberian peruntukan besar menyediakan kemudahan serta fizikal bangunan yang sempurna membuktikan kerajaan BN peka dengan keperluan ibu bapa di sini.


“Sebagai contoh permohonan Tadika Hikmah bagi melebarkan bumbung tadika dan kelas baharu telah mendapat perhatian kami dan hasilnya projek ini telah siap selaras dengan permohonan yang telah dikemukakan oleh pihak tadika sebelum ini,” ujarnya.


Chin menarik perhatian, Tadika Hikmah merupakan salah satu tadika yang terbaik dan dengan adanya pelbagai kemudahan dan insfrastruktur ia dapat menjadi pusat didikan awal yang terbaik untuk membangunkan masyarakat harmonis.


Sementara itu, projek pelebaran bumbung Tadika Hikmah mendapat peruntukan sebanyak RM65,000 dan peruntukan tambahan bagi tujuan pembinaan sebuah kelas tambahan.


“Dengan adanya kelas tambahan ini, saya berharap Tadika Hikmah dapat mengambil lebih ramai murid pada masa akan datang,” kata Chin sambil mengingatkan ibu bapa dan kakitangan tadika agar memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kecemerlangan tadika tersebut.


Hadir sama Setiausaha Politiknya Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi Tadika Hikmah Temenggung Abdul Rahman Fadzail.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.