Minute Ticker :

Sarawak negeri contoh perkasa ekonomi Bumiputera

Tuesday 12 March 2013

KUCHING: Sarawak bakal dijadikan negeri contoh dalam menyelesaikan masalah dan meningkatkan kekuatan ekonomi Bumiputera.


Menurut Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Datuk Amar Dr Rahim Tamby Chik, Sarawak lebih berpandangan jauh serta bijak menangani isu khususnya berhubung penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.


“Penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi agak rumit, kalau kita tidak rancang dengan baik serta tanpa melihat penyelesaian secara tepat, kita akan membazir banyak wang dan masa untuk mencapai matlamat.


“Justeru, saya ingin menyeru kerajaan-kerajaan negeri lain untuk mencontohi kerajaan negeri Sarawak kerana kita sekadar berbincang mengenai dasar tindakan, pelaksanaan, perancangan dan sebagainya, tetapi kerajaan Sarawak lebih daripada itu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbincangan Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera Sarawak (GABEM Sarawak) di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda (Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais.


Rahim turut memuji langkah kerajaan negeri yang menggunakan khidmat institut pengajian tinggi sebagai konsultan untuk mengkaji secara terperinci berhubung kedudukan atau kelemahan yang dihadapi semasa.


Menurutnya, komitmen jawatankuasa GABEM Sarawak yang diterajui Awang Tengah diyakini mampu menjayakan agenda Bumiputera mencapai tahap kejayaan dalam bidang ekonomi.


“Saya yakin kita mampu mencapai kejayaan setanding dengan rakan-rakan sewarganegara kita, masyarakat Tiong Hua,” katanya.


Sementara itu, Awang Tengah yang juga Pengerusi GABEM Sarawak memberitahu kajian Pembangunan dan Strategi Pemasaran bagi Produk Tempatan Sarawak yang bermula Januari tahun lepas dijangka siap sepenuhnya bulan depan.


Melalui kajian itu, produk-produk berpotensi akan dicadang untuk diusahakan oleh usahawan tempatan bagi meningkatkan pengeluaran dan seterusnya diharap akan dapat memenuhi permintaan pasaran yang besar.


Agensi-agensi pembangunan usahawan sama ada peringkat negeri dan persekutuan, katanya, akan bekerjasama dalam membangunkan produk-produk yang dikenal pasti dalam kajian berkenaan.


Dalam perkembngan lain, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian memberitahu Sarawak akan mengemukakan sebanyak 22 syarikat untuk dipilih di bawah program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS).


“Kita berharap mereka ini akan terus berjaya dan dengan itu, mereka dapat membimbing syarikat-syarikat Bumiputera yang lain supaya dapat berjaya,” katanya.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.