Minute Ticker :

Sasterawan, penggiat seni diajak perkasa bahasa Melayu

Monday 18 February 2013

TANDA PENGHARGAAN: Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Awang selepas merasmikan Malam Lestari Bahasa sambil disaksikan (dari kiri) Amran dan Misnu.

TANDA PENGHARGAAN: Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Awang selepas merasmikan Malam Lestari Bahasa sambil disaksikan (dari kiri) Amran dan Misnu.



KUCHING: Para sasterawan dan penggiat seni di Sarawak diajak bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkasakan bahasa Melayu agar dapat berkem­bang menjadi lingua franca di negara-negara serumpun.


Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bahasa Melayu yang merupakan bahasa akar umbi yang diguna pakai di kebanyakan negara serumpun dilihat berpotensi dikembangkan di rantau Nusantara ini.


Beliau menjelaskan untuk itu, komitmen semua pihak termasuk sasterawan dan penggiat seni amat diperlukan bagi memastikan mat­lamat itu dapat dicapai.


“Sejak berkurun lamanya pen­duduk di negara serumpun telah menggunakan bahasa Melayu se­bagai bahasa perantaraan sama ada dalam bidang perniagaan mahupun dalam bidang ilmu.


“Sekarang kita sudah merdeka maka kita boleh menguatkan diri ter­masuk pembangunan bahasa Melayu yang akhirnya dapat berasing dengan negara di rantau lain dan kalau ini berlaku saya percaya bahasa Melayu akan muncul menjadi lingua franca di rantau Nusantara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Lestari Bahasa DBP Ca­wangan Sarawak di Hotel Merdeka Palace di sini malam kelmarin.


Pada masa yang sama, Abang Jo­hari memberitahu, dengan adanya sistem perhubungan udara, ia lebih memudahkan lagi para sasterawan dan penggiat seni untuk berkongsi dalam mengembangkan dan mem­bangunkan bahasa ini.


“Kita tidak lagi mempunyai banyak rintangan untuk berhubung antara satu sama lain, baru-baru ini kita memperkenalkan penerbangan Kuching ke Balikpapan dan tidak lama lagi Kuching ke Jakarta sekali gus memudahkan perkembangan serta perkongsian dalam kajian bahasa ini.


“Sebab itu saya minta kalau boleh penggiat seni dan sasterawan men­ghubungi rakan-rakan di negara jiran, sudah tentu ia dapat menye­marakkan lagi perkembangan bahasa kita sebagai lingua franca di rantau ini,” katanya.


Jelasnya, kekayaan sumber alam di rantau ini perlu dibangunkan seiring dengan pembangunan ba­hasa Melayu bagi mengukuhkan penguasaan negara serumpun.


Selain itu, katanya pembangu­nan bahasa juga dapat dijalankan menerusi aktiviti kesenian dan kebudayaan seperti yang dilak­sanakan pada awal 80-an dahulu dalam melestarikan bahasa Melayu di Sarawak.


“Saya telah melihat sendiri perkembangan bahasa Melayu di Sarawak sejak kita menjadi sebuah negeri dalam Malaysia selepas menandatangani perjanjian Malaysia pada 1963,” katanya.


Beliau memberitahu, melalui pendekatan yang bijak pada masa itu iaitu kesenian menerusi filem-filem dan lagu P.Ramlee, bahasa Melayu dapat dikembangkan dalam masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri ini tanpa menjejaskan keharmonian dan persepsi masyarakat.


“Kalau kita lihat cerita P.Ramlee ia tidak hilang dan sehingga kini ia diminati setiap lapisan masyarakat kerana dari sudut penggunaan bahasa, pendengar mudah memahami mesej yang hendak disampaikan,” jelasnya.


Malah tambahnya, pada hujung bulan akan datang Kuching dipilih sebagai lokasi penganjuran julung kalinya Festival Filem ASEAN yang dianggotai negara-negara ASEAN yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan bahasa ini.


Selain itu, Abang Johari berkata bahasa sukuan yang banyak terdapat di Sarawak perlu dikumpul dan diterbitkan untuk dijadikan sebagai produk pelancongan.


“Saya cukup yakin sekiranya bahasa sukuan ini diterbitkan dalam bentuk buku sudah pasti akan mengundang ramai pengkaji luar negara datang ke sini untuk membuat kajian tentang bahasa kita,” ujarnya.


Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Amran Joned dan tetamu kehormat lain.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.