Minute Ticker :

Sarawak terpilih untuk Program Membina Semula Rumah Terbakar

Thursday 7 February 2013

KUCHING: Sarawak merupakan antara negeri yang terpilih untuk melaksanakan Program Membina Semula Rumah Terbakar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tahun ini.


Projek yang telah dimulakan di lima negeri pada tahun 2012 iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu menyaksikan Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak dipilih pada tahun ini.


Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata, di Sarawak sebuah rumah telah dipilih iaitu di Kampung Jeriah Abang Ramli, Sibu.


“Projek di bawah Strategi Lautan Biru 7 ini kita telah memilih lokasi di Kampung Jeriah Abang Ramli di Sibu, yang dianggarkan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM30,000 yang ditanggung pihak swasta.


“Buat masa ini, kita telah menyiapkan kerangka rumah berkenaan di mana kita meletakkan lima anggota jabatan bagi membina rumah dari semasa ke semasa,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tahunan JBPM 2013 di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di sini, semalam.


Nor Hisham memberitahu, projek yang bermula pada 25 Januari lepas itu dijangka siap menjelang hujung bulan ini.


Beliau berkata, jabatan akan ber-usaha membantu mangsa kebakaran khasnya mereka yang benar-benar terdesak memerlukan bantuan.


“Bagaimanapun dalam hal ini, yang menjadi kekangan utama kami adalah dari segi peruntukan kerana jabatan belum mempunyai bajet khusus daripada kerajaan.


“Pada waktu ini kita hanya berharap kepada bantuan peruntukan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan swasta, maka ia agak terbatas,” tegasnya.


Tambah Nor Hisham, namun ia merupakan program berterusan dan jika terdapat sebarang permohonan, ia akan dikemukakan kepada ibu pejabat.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.