Minute Ticker :

23,918 keluar dari garis kemiskinan hasil program JKM: Fatimah

Saturday 9 February 2013

MIRI: Seramai 23,918 rakyat Sarawak yang dikategorikan miskin berjaya dikeluarkan daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) hasil kejayaan pelbagai program pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah pada perasmian majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2013 JKM di Dewan Suarah Miri, semalam.


Menurut Fatimah, antara program yang dijalankan ialah 1AZAM yang mempunyai empat jenis program dalam usaha membantu membangunkan ekonomi golongan miskin.


“Kerajaan persekutuan melalui kementerian telah diamanahkan untuk melaksana dan memantau program 1AZAM bagi meningkatkan pendapatan golongan (miskin) terbabit,” ujarnya.


Jelas beliau, melalui program 1AZAM, seramai 1,140 orang telah dikeluarkan daripada PGK melalui AZAM Niaga, AZAM Khidmat, AZAM Kerja dan AZAM Tani.


“Sehingga kini, seramai 20,392 orang adalah dalam kategori miskin tegar, 26,432 orang miskin manakala 15,425 orang adalah dalam kategori mudah miskin,” katanya.


Fatimah memberitahu, kerajaan melalui JKM berusaha memastikan golongan berkeperluan tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan, tetapi juga berusaha meningkatkan ekonomi keluarga.


“Penerima bantuan yang berminat untuk meningkatkan ekonomi keluarga digalak untuk memohon Geran Pelancaran bagi memulakan perniagaan agar mereka mampu menjana pendapatan keluarga sekali gus mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.


“Geran Pelancaran ini diberikan kepada golongan sasar jabatan yang masih produktif agar mereka dapat menjalankan sesuatu projek atau perniagaan yang boleh meningkatkan pendapatan serta taraf hidup,” jelas beliau.


Pada tahun lepas, katanya, JKM memperuntukkan sejumlah RM136,238,610 untuk 51,157 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.


“Terdapat pelbagai bentuk bantuan yang disediakan JKM, tetapi mereka yang memerlukan harus mendaftarkan diri dalam program e-Kasih untuk mendapatkan bantuan yang diberikan.


“Sehubungan itu, kita mengesa ketua masyarakat dan organisasi bukan kerajaan untuk membantu mengenal pasti mereka yang layak mendapat bantuan ini kerana terdapat segelintir masyarakat kita masih tidak peka terhadap perkhidmatan ini,” tambahnya.


Sementara itu, seramai 300 penerima bantuan bulanan JKM yang terdiri daripada masyarakat Cina menerima sumbangan angpau dan hamper pada majlis semalam.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.