Minute Ticker :

Gomez meninggal dunia, Sarawak hilang seorang lagi wira

Sunday 3 February 2013

KUCHING: Sarawak kehilangan seorang lagi perwira perang, ASP (B) Wilfred Gomez Malong yang meninggal dunia akibat barah usus kecil di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.


Mendiang, 64, yang merupakan penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) menghembuskan nafas terakhir di HUS pada kira-kira 7 pagi semalam.


Gomez sebelumnya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dibawa ke HUS pada jam 12 tengah malam kelmarin kerana sakit akibat barah itu.


Jenazah mendiang telah dibawa ke rumahnya di Kampung Entinggan, Kota Samarahan.


Pada Jun 1973, Gomez mengetuai sepasukan Pengawal Sempadan yang dianggotai sembilan orang dalam Operasi Jengking di hutan Ulu Poi, Kanowit, bertempur dengan sekumpulan komunis seramai kira-kira 20 orang.


Mendiang menyertai polis selepas tamat Sijil Sekolah Menengah (HSC) pada 1969 dan bersara sekitar tahun 1980-an selepas menamatkan pengajian dalam ijazah undang-undang di United Kingdom.


Gomez dianugerahkan pingat PGB, yang merupakan anugerah kedua tertinggi, pada 1974 sewaktu mendiang berusia 23 tahun.


Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Veteran Pasukan Keselamatan Malaysia Cawangan Sarawak selama sembilan tahun pada 1990-an.


Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Tan Sri William Mawan Ikom meluahkan rasa sedih atas kehilangan seorang lagi pahlawan negara.


“Ini satu kehilangan besar bagi kita di Sarawak kerana mendiang telah banyak menabur bakti demi keamanan negara khasnya Bumi Kenyalang ini.


“Tetapi saya percaya semangat patriotisme yang mendiang tunjukan akan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda pada masa kini untuk meneruskan perjuangan demi kedaulatan negara,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.