Minute Ticker :

SWP nafi ‘merampas’ ahli parti lain

Monday 10 December 2012

Terdapat bukti bahawa tiga ahli SPDP Pakan memohon menyertai SWP


KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) menyangkal dakwaan mengatakan parti itu ‘merampas’ ahli parti lain seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris kelmarin.


Naib Presiden Kanan SWP Josephine Randan Mawat berkata terdapat bukti bahawa tiga individu terbabit iaitu daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Pakan itu memohon menyertai parti berkenaan (SWP).


Kad keahlian parti ujarnya dikeluarkan setelah ketiga-tiga individu berkenaan mengisi borang keahlian dibekalkan parti.


“SWP tidak merampas ahli parti lain, memang ketika ini parti giat merekrut ahli tetapi tidak bermakna kami merampas ahli parti lain.


“Sebagai parti politik dan saya percaya sama seperti parti-parti politik lain, SWP sentiasa membuka pintu kepada mereka yang sanggup menyertai kami.


“Dalam kes ini terdapat bukti mereka (tiga ahli SPDP) memohon menyertai SWP.


“Ingin saya jelaskan di sini kami (SWP) hanya mengeluarkan kad keahlian kepada mereka yang memohon menerusi borang penyertaan,” jelasnya pada sidang media di ibu pejabat SWP di sini semalam.


Josephine menambah pihaknya tidak melakukan saringan terperinci atau menyoal siasat sama ada pemohon yang mahu menyertai parti itu merupakan ahli parti politik sedia ada atau sebaliknya.


“Saya percaya tidak ada parti politik lain yang berbuat demikian dan saya tidak boleh menjawab kenapa mereka mahu menyertai SWP… mungkin mereka berasa lebih selesa (dengan SWP),”katanya.


Ahad lepas sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan ramai ahli SPDP tidak berpuas hati dengan tindakan SWP mengeluarkan kad keahlian parti kepada beberapa individu yang masih lagi ahli SPDP.


Ketua Wanita SPDP Pakan Patimah Bllaka antara yang menerima kad keahlian SWP memberitahu bahawa beliau terkejut dan kehairanan apabila menerima kad keahlian itu kerana sebelum ini beliau tidak pernah memohon menyertai parti baharu itu, tambahan beliau masih lagi ahli SPDP.


Turut menerima kad sama ialah suami serta anak lelakinya dan dipercayai kad itu juga diberikan kepada beberapa ahli SPDP Pakan.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.