Minute Ticker :

SESB akan laksana pelbagai langkah bagi atasi kerosakan IPP

Tuesday 11 December 2012


ABD Razak (duduk tengah) memberi penerangan kepada pengamal media di sidang akhbar itu kelmarin.



KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menjamin bahawa tiada catuan elektrik pada masa terdekat ini berikutan kerosakan serius sebuah set jentera kuasa milik stesen janakuasa bebas (IPP) yang berkeupayaan 65 megawatt tempoh hari.


Pengarah Urusan SESB, Ir Abd Razak Sallim berkata ekoran kerosakan set janakuasa terbabit, ia telah menyebabkan Sistem Rangkaian Grid Sabah terganggu dan kehilangan kira-kira 30 megawatt daripada turbin stim milik syarikat berkenaan.


Menurut beliau, dengan kerosakan itu, SESB dijangka berhadapan kehilangan sebanyak 95 megawatt secara keseluruhan daripada jumlah kapasiti janaan elektrik di negeri ini.


“Kita akan melakukan sedaya mungkin untuk memulihkan semula keadaan ini dan pelaksanaan catuan elektrik merupakan langkah terakhir sekiranya masalah terbabit tidak dapat diatasi,” katanya.


Abd Razak menambah, dengan insiden kerosakan luar jangka pada salah satu IPP, SESB terpaksa melaksana Pengurusan Beban Pengguna (DSM) terhadap semua pengguna Kuasa Elektrik Besar (LPC) di seluruh Sabah.


“Ini termasuklah Stesen Janakuasa Kubota di Tawau yang dijangka akan mula beroperasi pada awal Januari depan yang dilihat dapat membantu SESB untuk menampung bekalan elektrik di Sabah, sekali gus mengelak berlaku impak besar kepada para pengguna,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini kelmarin yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim.


Sementara itu, Abd Razak turut menjelaskan penyelengaraan kritikal pada set jentera yang rosak terbabit akan memakan masa selama dua hingga ke tiga bulan.


Tambahnya, tindakan proaktif akan dilaksana secepat mungkin termasuklah meminta kerjasama daripada kilang-kilang besar untuk menghidupkan bekalan elektrik mereka sendiri.


Selain itu, katanya, Stesen Janakuasa Kubota di Tawau yang dijangka beroperasi awal Januari ini dilihat berupaya menjana elektrik sebanyak 64 megawatt, sekali gus mengelakkan SESB melaksanakan tindakan catuan elektrik.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.