Minute Ticker :

Tentera Darat perkukuh kerjasama serantau tangani ancaman luar

Thursday 4 July 2013


JASAMU DIKENANG: Zaki (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Leftenan Kolonel Ahmad Fareed Ariffin yang terlibat dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada Upacara Perbarisan Sempena Ulang Tahun Ke-47 Satu Divisyen di Kota Samarahan, semalam.



KUCHING: Tentera Darat Diraja Malaysia Wilayah Dua (Sabah dan Sarawak) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan semua agensi keselamatan di negara ini dan negara jiran bagi menangani sebarang ancaman dari luar.


Panglima Divisyen Pertama Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, kerjasama erat amat penting agar insiden berdarah seperti yang berlaku di Lahad Datu, Sabah tidak berulang lagi.


“Sekarang kita tidak menghadapi masalah dan ancaman dari luar di perbatasan Wilayah Dua melibatkan setiap sempadan Sabah dan Sarawak kerana kita sentiasa bekerja rapat dengan rakan sejawat termasuk rakan (pihak keselamatan) dari negara jiran,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Upacara Perbarisan Sempena Ulang Tahun Ke-47 Satu Divisyen di Padang Kawat Kompleks Satu Divisyen di Kota Samarahan, semalam.


Zaki memberitahu, perbincangan sedang dijalankan melibatkan anggota majlis tertinggi bagi mewujudkan pos kawalan bersama di setiap sempadan.


“Di Sarawak sahaja kita mengawal sempadan kira-kira 2,000 kilometer, alhamdulillah genap dua tahun saya memerintah, tiada masalah mahupun ancaman di perbatasan di negeri ini.


“Malah, kita sentiasa bekerja rapat dengan rakan sejawat di sepanjang sempadan di negeri ini yang melibatkan anggota keselamatan dari Kalimantan Barat, Indonesia iaitu Kodam 6 di Balikpapan dan Kodam 12 Tanjung Pora di Pontianak,” jelasnya.


Dalam mengukuhkan silaturahim antara Tentera Darat dan pihak keselamatan dari Kalimantan Barat, Indonsesia beliau memberitahu satu majlis berbuka puasa akan diadakan pada bulan Ramadan akan datang.


Selain itu, katanya, cadangan untuk penambahan anggota Tentera Darat di setiap pos kawalan di sempadan juga sedang dibincangkan dalam memastikan keselamatan di perbatasan negara.


Tambahnya, meskipun jika tiada penambahan anggota di pos kawalan di setiap sempadan, khidmat Askar Wataniah diguna pakai untuk menjadi ‘mata dan telinga’ Tentera Darat.


“Kita mempunyai anggota Wataniah di setiap kawasan Parlimen di negeri ini dan mereka bertindak memberi laporan serta perkembangan terkini tentang apa yang berlaku di setiap kawasan mahupun di sempadan,” ujarnya.


Menyentuh mengenai per-kembangan terkini di Lahad Datu, Sabah Zaki berkata, Ops Daulat telah tamat pada 29 Jun lalu dan digantikan dengan Ops Sanggah di bawah kendalian ‘Eastern Sabah Security Command’ (ESSCOM).


“Saya sebagai Panglima Wilayah Dua masih lagi bertanggungjawab dan bekerja rapat dengan ESSCOM bagi memastikan perbatasan di sepanjang perairan Sabah adalah terjamin dan selamat,” katanya.


Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyeru anggota Tentera Darat di bawah pemerintahannya agar menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dengan lebih efektif.


Malah, katanya, teras utama iaitu kesatuan, profesional, keterampilan serta berkemahiran, kesiagaan dan perhubungan tentera dan awam perlu menjadi parameter untuk diguna pakai bagi menentukan legasi kegemilangan TDM.


Upacara perbarisan semalam disertai 600 anggota, manakala 74 anggota termasuk lapan penjawat awam menerima sijil penghargaan.


Hadir sama Panglima Tiga Briged Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin, Ketua Markas Satu Divisyen Kolonel Mohd Mahmud Ahmad dan tetamu kehormat lain.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.