Minute Ticker :

2,315 KIR di Sarawak telah terima bantuan di bawah program 1AZAM

Wednesday 24 July 2013

KUCHING: Seramai 2,315 Ketua Isi Rumah (KIR) di Sarawak telah menerima bantuan di bawah program 1AZAM sehingga 24 Julai 2013, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.


Menurut beliau, ia merupakan 30.87 peratus daripada jumlah sasaran untuk pemberian bantuan 1AZAM bagi tahun 2013, iaitu 7,500 KIR dalam e-Kasih pada tahun ini.


“Program 1AZAM di bawah Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan pemberian bantuan 1AZAM bagi tahun 2013 kepada seramai 7,500 KIR dalam e-Kasih.


“Sehingga 24 Julai 2013, seramai 2,315 KIR (30.87 peratus) telah menerima bantuan di bawah program 1AZAM ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.


Tambah beliau, sebanyak 28 agensi terlibat dalam program 1AZAM termasuk tujuh sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Fatimah berkata sejak tahun 2010 sehingga 24 Julai 2013, mengikut dalam Sistem Bank Data Nasional iaitu e-Kasih mempunyai data KIR yang berdaftar seramai 92,570 KIR di Sarawak.


“Daripada itu, Miskin Tegar (MT) seramai 28,293 KIR, Miskin (M) 26,946 KIR, Mudah Miskin (MM) 13,691 KIR dan Terkeluar ialah seramai 23,640 KIR.


“Terkeluar dalam sistem e-Kasih bermaksud bertukar status daripada ketiga-tiga MT, M dan MM disebabkan enam perkara iaitu menerima bantuan sara hidup, berkahwin semula, meninggal dunia, pengesahan oleh Focus Group, tidak dapat dikesan dan telah meningkat pendapatan,” katanya.


Beliau memberitahu sehingga 23 Julai 2013, penerima bantuan 1AZAM yang berada dalam status Terkeluar disebabkan peningkatan pendapatan ialah seramai 2,166 KIR.


Mesyuarat dihadiri residen dan pegawai daerah serta ketua jabatan atau wakil agensi-agensi pelaksana program pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.


Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Masnah Abang Abu Bakar dan Ketua Penolong Setiausaha Jabatan Kebajikan Masyarakat Joni Nuruddin.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.