Minute Ticker :

K’jaan rancang lebih banyak penerbangan terus antarabangsa ke Sarawak

Saturday 8 June 2013


TUMPUAN PELANCONGAN: Nazri (dua kiri) dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg (kiri) melambai sebelum meninggalkan jeti BCCK untuk Medan Niaga Satok, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi



KUCHING: Kerajaan persekutuan sedang merancang untuk membuka lebih banyak penerbangan terus antarabangsa ke Sarawak dan Sabah bagi merangsang industri pelancongan tempatan.


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, ia merupakan langkah yang akan diusahakan dengan syarikat penerbangan kebangsaan, Penerbangan Malaysia (MAS).


“Sekarang bukan masanya untuk kita melindungi syarikat penerbangan negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada industri pelancongan yang merupakan salah satu sumber terbesar aliran wang masuk daripada pelancong luar negara,” kata Nazri semasa lawatan pengenalan beliau ke sini semalam.


Bercakap kepada pemberita di bangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Medan Niaga Satok semalam, Nazri mengakui perlindungan khas kepada MAS menyebabkan beberapa rayuan penerbangan terus antarabangsa kekal ke Sarawak oleh menteri-menteri dari negeri ini, tidak berjaya.


Beliau juga berkata, MAS telah beroperasi sejak 50 tahun lalu di Malaysia dan sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk beralih keutamaan dan menyokong penerbangan antarabangsa lebih langsung ke negeri-negeri yang mempunyai potensi pelancongan kukuh terutamanya Sarawak dan Sabah.


“Dunia moden kini menjadi ‘Perkampungan Global’ yang akan meningkatkan persaingan dalam semua sektor, justeru adalah tidak masuk akal sekiranya syarikat penerbangan negara tunggal itu terus dilindungi.


“Kita perlu bersikap terbuka dan berdaya saing. Jika penerbangan kita tidak dapat bersaing, ini tidak baik,” tambah Nazri.


Beliau menambah, kementerian juga akan cuba untuk berbincang tentang isu-isu penerbangan terus secepat mungkin dengan Kementerian Pengangkutan.


Dengan adanya Lebuhraya Pan Borneo, katanya, ia akan membuka lebih banyak peluang bagi Sarawak untuk meneroka lebih jauh dalam industri pelancongan.


Pada tahun ini, jelasnya, kementerian menjangka ketibaan 26.7 juta pelancong ke Malaysia yang menjana pendapatan RM63 bilion dengan Sarawak dijangka menarik 4.2 juta pelancong.


Angka itu, kata Nazri, dijangka meningkat pada tahun 2014 yang akan diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.


“Tahun depan, kita menyasarkan 28 juta pelancong ke Malaysia dengan 4.5 juta melawat Sarawak dan menjana pendapatan sebanyak RM67 bilion,” kata Nazri.


Sementara itu, Nazri yang melawat Medan Niaga Satok melalui Sungai Sarawak dari Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), memuji kerajaan negeri atas usaha untuk mencantik dan membangunkan kawasan di sepanjang tebing sungai itu.


“Idea untuk membina pusat konvensyen dan hotel di tebing Sungai Sarawak adalah benar-benar cemerlang,” kata Nazri sambil menambah, sungai adalah salah satu daripada produk pelancongan mapan yang melangkaui tujuan tradisional sebagai laluan air untuk pengangkutan.


Bagi menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan teksi sungai, Nazri berkata kementeriannya akan mencari dana untuk membina jambatan menghubungkan BCCK ke jeti bot bersebelahan yang terletak kira-kira 200 meter dari bangunan utama.


“Saya diberitahu anggaran kos untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung ini ialah RM5.6 juta. Projek ini adalah relevan kerana kita tidak mahu perwakilan atau pelawat berjalan di bawah cahaya matahari terik atau hujan untuk sampai ke jeti,” jelas Nazri.


Mengiringi Nazri semalam ialah Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang turut bersetuju industri pelancongan Sarawak akan lebih rancak dengan menyediakan penerbangan terus antarabangsa.


“Kita mempunyai semua infrastruktur, lebih baik daripada orang di Bali, Indonesia. Jika mereka boleh melakukannya, jadi kita juga boleh,” kata Abang Johari.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.