Minute Ticker :

Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga peruntuk bantuan segera RM350,000

Wednesday 26 June 2013

SIBU: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak telah memperuntukkan bantuan segera sebanyak RM350,000 bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Datu.


Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, JKM telah memulakan operasi memberi bantuan iaitu dalam bentuk makanan sejak petang kelmarin.


“Kelmarin kami telah mengedarkan sebanyak 695 pek makanan dan 50 kotak minuman botol kepada mangsa yang terlibat,” ujarnya pada sidang media di bangunan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), semalam.


Setelah pihak JKM mendapati jumlah sebenar mangsa kebakaran katanya, baharulah dapat ditentukan bantuan lain yang akan dihulurkan seperti bantuan makanan segera kepada keluarga, yang mampu bertahan selama seminggu.


Bantuan lain ujar beliau termasuk peralatan dapur, pakaian harian, pakaian sekolah, peralatan persekolahan dan bahan binaan kepada pemilik asal rumah yang musnah dalam kejadian tersebut.


ADUN Dalat itu juga memberitahu, pihaknya juga sedang melihat dari segi pendidikan kanak-kanak sekolah yang terjejas dalam kejadian itu sekiranya mereka bersetuju berpindah sementara ke Sibu Jaya.


“Kami akan melihat adakah mereka hendak bertukar sekolah atau kekal di sekolah sekarang.


“Kami khuatir kerana sekolah di Sibu Jaya kini agak sesak dengan ada kelas mempunyai 55 murid.


“Apabila mereka berpindah sekolah, ini akan melibatkan perbelanjaan yang besar serta memerlukan bantuan dari segi pengangkutan atau peruntukan untuk sewa van.


“Oleh itu, bantuan ini amat perlu bagi membantu ke-luarga yang terjejas daripada aspek perbelanjaan untuk bersekolah, peralatan persekolahan, makanan harian dan sebagainya,” jelas Fatimah.


Dalam pada itu katanya, pihak JKM masih mendaftar nama mangsa yang terlibat menyebabkan jumlah mangsa sering berubah dari masa ke masa.


Sehingga tengah hari semalam, seramai 99 keluarga melibatkan 713 orang mangsa telah mendaftar dengan JKM.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.