Minute Ticker :

SUPP pecat Edward Luwak

Sunday 21 April 2013


Peter Chin



Pemecatan serta-merta dilakukan kerana bertanding menentang BN: Chin


MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam memecat ahlinya, Edward Andrew Luwak daripada parti itu kerana bertindak menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga daripada SUPP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.


Presidennya Datuk Seri Peter Chin menegaskan bahawa pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta kerana ia adalah kesalahan paling serius dalam parti iaitu bertanding menentang ahli parti sendiri dan BN pada PRU13 ini.


Chin berkata, Edward menyertai parti itu semasa masih bertugas dengan Shell Malaysia di Miri pada 1994 dengan nombor keahlian Puj-A-0693, tidak pernah menghantar surat peletakan jawatan kepada parti itu.


“Dalam rekod kami, dari dahulu hingga hari ini (semalam) Edward tidak pernah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli kepada SUPP sama ada di bahagian Pujut atau negeri.


“Selagi beliau tidak meletak jawatan, bermakna beliau adalah ahli parti dan sebagai ahli parti, bertanding menentang calon parti dan BN pada pilihan raya ini adalah kesalahan paling serius,” katanya pada sidang media di Pejabat SUPP Piasau di sini, petang semalam.


“Oleh yang demikian, saya selaku presiden parti, petang ini (semalam) mengumumkan bahawa beliau dipecat berkuat kuasa serta-merta,” katanya Chin sambil menambah parti itu tidak ada pilihan lain.


Katanya Edward sebelum berpindah tugas ke Kuching pernah bertugas di Miri dan menjadi ahli biasa parti itu tanpa sebarang jawatan.


“Walaupun beliau mungkin tidak aktif sepanjang bersama parti, namun pada kempen pilihan raya ketika saya bertanding, beliau ada terlibat sama dan memberikan sumbangan,” katanya.


Pada masa yang sama, me-reka (SUPP) juga tidak tahu bila Edward menyertai DAP.


Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Edward menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding mewakili DAP menentang calon BN yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) SUPP Datuk Richard Riot Jaem.


Dalam perkembangan berkaitan, Chin berkata, parti itu sudah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk memantau dan menyiasat jika terdapat ahli-ahli parti itu berkempen untuk menentang SUPP dan BN, sama ada menyokong Edward atau calon pembangkang yang lain.


“Jawatankuasa inilah yang akan bertindak memantau dan memerhatikan tingkah laku mereka sama ada melanggar undang-undang parti atau sebaliknya.


“Jika didapati ada ahli yang berbuat demikian, maka parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap mereka bergantung kepada kesalahan yang dilakukan,” katanya.


Chin menambah, parti itu tidak mahu ada ahlinya yang menjadi musuh dalam selimut, cuba memecahbelahkan parti dan sokongan ahli dalam keadaan SUPP kini semakin bersatu mencapai kemenangan pada PRU13 ini.


Hadir sama pada sidang media itu Pengerusi Cawangan Piasau yang juga calon BN-SUPP di Parlimen Miri Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Cawangan Pujut Andy Chia dan Pengerusi Cawangan Kecil Krokop Adam Yii.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.