Minute Ticker :

Curtin S’wak, Samling perkukuh kerjasama

Tuesday 22 January 2013


TERMETERAI: Ian Kerr dan James Ho menunjukkan dokumen perjanjian disaksikan oleh Dr Chan (tengah) di Miri semalam.



MoU tingkat kerjasama penempatan kerja, penyelidikan dan projek pembangunan


MIRI: Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) dan Syarikat Kumpulan Samling semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama dalam penempatan kerja, penyelidikan, biasiswa dan program latihan internship.


Pengerusi Majlis Curtin Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, MoU itu merupakan satu lagi kejayaan bersama Curtin Sarawak dan Samling yang dijangka memberi manfaat besar kepada kedua belah pihak dalam jangka masa panjang.


“MoU ini akan merintis lebih banyak peluang kepada Curtin Sarawak dan Samling untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan, projek pembangunan dan latihan yang bukan sahaja memanfaatkan pelajar dan ahli akademik malah komuniti dan negara keseluruhannya.


“Pada masa yang sama, menjadi contoh kepada syarikat atau organisasi yang lain untuk menjalin kerjasama dalam membangunkan sumber tenaga manusia,” katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Curtin Sarawak dan Samling di Curtin Sarawak, Senadin di sini semalam.


Curtin Sarawak diwakili oleh Pro Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Curtin Sarawak, Profesor Ian Kerr manakala Samling pula diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, James Ho Yam Kuan.


Dr Chan berharap, melalui MoU ini Samling dan Curtin akan menganjurkan lebih banyak aktiviti antaranya terlibat dalam Minggu John Curtin atau projek Akademi Kepimpinan John Curtin.


Selain itu, program penempatan latihan pelajar Curtin Sarawak di Samling, tajaan atau geran untuk melaksanakan penyelidikan dan pada masa sama Curtin menyumbang kemahiran dan kepakaran mereka membantu Samling membuat penyelidikan.


Terdahulu, James Ho Yam Kuan berkata mereka sudah lama menjalin hubungan kerjasama dengan Curtin Sarawak sejak penubuhan pusat pengajian itu lebih 13 tahun lalu.


“Kita sudah lama bekerjasama dan banyak menganjurkan aktiviti secara tidak rasmi.


“Melalui MoU ini, maka hubungan Curtin dan Samling terpateri dan meletakkan hubungan kerjasama ke satu tahap baharu,” jelasnya.


Beliau menambah, MoU itu amat signifikan dalam usaha syarikat mencapai matlamat syarikat untuk memantapkan kemahiran, pengetahuan dan menggunakan sumber yang ada untuk kebaikan dan kesejahteraan komuniti keseluruhan.


“MoU ini merupakan satu lagi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dan kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.