Minute Ticker :

Blog pembangkang ‘Kanang Bukan Hero Sebenar’ diselar pemimpin

Saturday 5 January 2013

KUCHING: Blog pakatan pembangkang yang bertajuk ‘Kanang Bukan Hero Sebenar’ diselar dan menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin Sarawak.


Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Jemut Masing memberitahu, tindakan pembangkang yang seolah-olah mempersoalkan jasa dan pengorbanan pahlawan terulung negara amat hina.


“Datuk Kanang berhak menerima pengiktirafan negara atas jasa dan pengorbanannya dalam menentang komunis di Malaysia supaya kita dapat hidup dengan aman.


“Sesiapa yang beranggapan Kanang tidak berhak menerima penghargaan sedemikian seperti pihak pembangkang, adalah pengkhianat kepada semua wira negara yang bertarung nyawa agar warga Malaysia mampu hidup dengan aman,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai blog pembangkang, suarapakatan.com yang bertajuk ‘Kanang Bukan Hero Sebenar.’


Antara inti pati blog itu ialah: “Penulis tak tahulah orang lain melihatnya bagaimana, tapi pada pendapat penulis, biasalah untuk askar menembak dan ditembak. Sebab itu mereka dibekalkan senapang dan latihan yang secukupnya bagi menghadapi situasi seumpama itu.


“Tapi itu sahaja bukan alasan kukuh untuk menjadikan mereka sebagai wira negara sehingga bila mati, istiadat pengebumian negara perlu diberikan bagi menghormati kematian mereka dan tak cukupkah elaun dan pelbagai kemudahan lain sebagai penerima pingat SP dan PGB yang diberikan kerajaan selama ini sehingga bila mati pun, istiadat pengebumian negara nak diadakan?”


Penulis blog itu turut menyifatkan Kanang sebagai hero yang terlalu didendangkan kerana jelas sekali mendiang telah begitu dihargai kerajaan sepanjang usia hidupnya.


“Jangan salah, penulis menghormati dan menghargai jasa dan pengorbanan mendiang semasa berkhidmat tapi untuk mengadakan istiadat pengebumian negara bagi menghormati pemergiannya?… Itu adalah masalah sikit,” katanya dipetik sebagai berkata.


Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah pula menyifatkan penulis blog berkenaan seorang pengkhianat.


Tambahnya, blogger itu juga merupakan individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengerti sejarah.


“Jangan komen sembarangan kerana dalam keadaan keluarga dan negara bersedih dengan pemergian seorang perwira negara, ada penulis dan blogger yang tidak tahu hujung pangkal sejarah memberi komen yang boleh menyakitkan hati dan mempersoalkan kesahihan pengorbanan Kanang.


“Jasa dan pengorbanan Kanang tidak dapat dipersoal dan dibanding dengan yang lain. Beliau seseorang yang telah dianugerahkan dua Pingat Tertinggi Keberanian Negara,” katanya.


Manakala menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, perkara itu tidak mengejutkan kerana sememangnya dasar pembangkang memang tidak menghargai jasa mereka yang telah banyak menyumbang kepada negara.


“Hero dikatakan bukan hero dan bukan hero dikatakan hero… itulah yang mereka agungkan malah kerajaan yang telah membangunkan negara dari segenap bidang pun dikatakan kerajaan yang zalim.


“Mereka akan mengadakan perhimpunan dengan slogan Jangan Biarkan Undang-Undang menghalang kita tidak lama lagi dan ia merupakan contoh terbaik sikap mereka mengamalkan ‘tak payah hormati dan patuhi undang-undang’ memang dasar mereka,” katanya.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.