Minute Ticker :

Aspirasi rakyat sentiasa diperjuang

Thursday 30 May 2013


SUMBANGAN: Abdullah (dua kanan) menyerahkan replika cek untuk Tabung Tragedi Bot Ekpress Karam Belaga kepada Jabu (kiri) sambil disaksikan Dr Abdul Rahman Junaidi selaku Setiausaha BNBBC dan Bendaharinya Snowdan Lawan (kanan).



KUCHING: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak berikrar untuk bekerja keras dan melakukan terbaik bagi memenuhi aspirasi serta permintaan rakyat yang semakin meningkat.


Pengerusinya Abdullah Saidol berkata, kelulusan Rang Undang-undang (Imbuhan, Pencen dan Gratuiti) 2013 Ahli-Ahli Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Persidangan DUN baru-baru ini merupakan satu laporan kewangan untuk setiap ahli BNBBC.


Laporan kewangan itu, ujarnya, menuntut kerja keras serta tanggungjawab lebih berat daripada setiap ahli BNBBC memperjuangkan kepentingan rakyat.


“Semua ahli BNBBC dan Setiausaha Politik memberi jaminan kepada Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) akan melipatgandakan usaha, bekerja keras untuk memenuhi permintaan dan aspirasi rakyat kian meningkat di negeri ini.


“Pembangunan terutamanya di kawasan pedalaman masih merupakan agenda utama perjuangan kita dalam BNBBC. Kenaikan elaun tetap ini sebenarnya membawa makna meningkat jugalah harapan dan aspirasi rakyat,” katanya pada Malam BNBBC Sarawak yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.


Majlis santai itu dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, menteri-menteri kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani serta ahli-ahli BNBBC Sarawak.


Majlis itu adalah acara rutin diadakan selepas tamatnya persidangan DUN dan kali ini Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Negeri Sarawak Ke-17 berlangsung selama tujuh hari dari 20-29 Mei 2013.


Terdahulu, sebelum menyampaikan ucapannya, semua hadiran bertakafur seketika sebagai memperingati mangsa-mangsa tragedi malang bot ekspres karam di Tanjung Tukok, Punyang Gian Batang Rajang, Belaga, yang berlaku Selasa lepas.


Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, BNBBC juga berharap dengan pelantikan empat menteri penuh dan timbalan menteri dalam kabinet persekutuan dari Sarawak, negeri ini akan mendapat peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat lebih banyak berbanding sebelum ini.


Beliau berkata dengan peruntukan yang lebih besar, pembangunan infrastruktur boleh dipercepatkan lagi terutamanya di kawasan-kawasan masih jauh ketinggalan.


“Ahli BNBBC dan semua setiausaha politik (kepada Ketua Menteri) akan mengadakan lawatan kerja ke Putrajaya untuk bertemu dengan menteri-menteri dan timbalan menteri dari Sarawak dalam waktu terdekat ini,” katanya.


Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan jumlah kutipan keseluruhan setakat kelmarin bagi Tabung Tragedi Bot Ekspres Karam Belaga ialah RM80,000 dengan ahli BNBBC menyumbang RM24,000, sumbangan daripada menteri dan menteri muda pula berjumlah RM46,500, setiausaha politik (RM5,000), Ahli-ahli DUN dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) RM2,500, ADUN Pelagus George Lagong (Parti Pekerja Sarawak) RM200 dan Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (SABATI) RM1,800.


Sumbangan itu telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.






Source: sabah & sarawak news
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright sabahsarawak.TK | Sabah Sarawak News Update 2012 -2017 | Design by sabahsarawak.TK | Powered by Blogger.com.